27 March, 2010

Suci Sekeping Hati





Lagu ini bukanlah termasuk dalam senarai lagu kegemaran saya. Tetapi lagu ini telah lama wujud dalam koleksi nasyid yang saya ada. Telah menjadi tabiat, apabila saya merasakan sesuatu terdetik dari dalam hati saya, saya putar kembali mana-mana lagu yang saya rasa sesuai dengan jiwa saya di ketika itu. Kali ini hati ini terdetik soal hati. Teringat pula akan tajuk sebuah lagu, Suci Sekeping Hati. Bila didengar kembali, ya, boleh la diambil sebagai sebagai peneman yang berharga buat saat dan ketika ini.

Mengapa hati?




Mengapa hati? Kerana hatilah yang akan membentuk peribadi. Andai si hati baik, baiklah diri. Dan andai si hati itu jahat, jahatlah diri. Benarkah? Siapa pula yang menentukan baik atau jahatnya hati? Hhhmm.. saya bukanlah siapa-siapa untuk berbicara soal hati. Apa yang saya cuba sampaikan adalah apa yang saya cuba fahami. Faham apa yang cuba untuk ditafsirkan oleh hati. Mampu juga untuk faham kerana dikurniakan akal untuk berfikir, mencari jawapan untuk setiap persoalan yang terbit dari hati. Pada saya, manusia adalah ciptaan teragung yang sukar difahami. Betapa kompleksnya seorang manusia, sehingga diri manusia itu sendiri tidak dapat memahami apa yang berlaku pada dirinya... ye ke?

Sebab musabab timbulnya persoalan ini adalah kerana apa yang saya rasakan. Rasa yang timbul dari hati. Mungkin. Betapa hati saya sangat rapuh. Rapuh kerana tidak kuat. Tidak tegar. Yang pasti, ia sentiasa berbolak balik. Sekejap itu, sekejap ini. Sekajap mahu, sekejap enggan. Sekejap gembira, sekejap sedih. Sekejap ya, sekejap tidak. Sekejap baik, sekejap jahat. Ya, sekejap itu, sekejap ini. Semuanya bercampur, membentuk sekeping hati seorang manusia yang istimewa. Mengapa istimewa? Kenapa tidak istimewa? Kita adalah makhluk yang diciptakanNya untuk memilih. Bukankah membuat pilihan adalah hak istimewa yang dimiliki seseorang. Berbeza dengan makhluk yang lain, semua malaikat dijadikan untuk sentiasa patuh pada arahanNya, juga sebagai perantara antara urusan manusia dan Tuhan. Syaitan pula telah ingkar akan perintah Allah, dijadikan untuk menyesatkan manusia. Alam semesta, tumbuh-tumbuhan dan haiwan juga dijadikan tanpa akal, untuk membantu kehidupan manusia, juga sentiasa patuh pada perintahNya. Wahhh, dah la diberi plihan untuk membuat pilihan, makhluk-makhluk lain itu juga berkhidmat untuk manusia, atas perintah Allah! Apa lagi sebenarnya keistimewaan yang kita mahukan???Jalan untuk dipilih telah tersedia. Terpulanglah pada diri kita untuk memilih. Mahu baik, ataupun jahat. Jadi, siapa yang sebenarnya yang membuat pilihan itu? Dialah HATI.

Sucikah Sekeping Hati?



""dan demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (As-Syams, 91:7-8)


Suci, ataupun kotornya sekeping hati, kita sendirilah yang menentukannya, dengan izin daripada Sang Pemilik hati yang Agung.

"Aku ni kan jahat, memang sejak azali lagi macam ni. Tak payah la susah-susah nak buat benda baik. buang masa je. Lain la macam kau, keluarga pun baik-baik..."


"Eh, aku ni kan alim, suka pergi surau, pandai ngaji quran, gerenti la tak buat benda-benda maksiat nih. Bukan macam dia tu, macam-macam maksiat dah buat..."


Benarkah? Yang baik tetap baik, yang jahat tetap jahat? Sudah semestinya tidak!
Bila-bila masa sahaja hati boleh berubah, jika tuannya ingin berubah. Perubahan diri ke arah kebaikan sudah semestinya adalah kurniaan Pemilik Hati yang sebenar yang menghendaki perubahan itu, dengan meniupkan hidayah kepada si peminjam hati. Terpulanglah kepada si peminjam hati untuk menyedari tanda kasih sayang Allah itu, menghargainya dan melaksanakan perubahan yang akan menyelamatkan dirinya. Jika si pemilik hati itu menafikan petunjuk Allah yang sentiasa ada untuknya, dan lebih suka untuk memilih ‘keindahan-keindahan’ lain yang ada di dunia ini, terpujuk dengan kata-kata manis si syaitan penggoda, serta membiarkan nafsu menguasai hati, maka terkotorlah hati, terzalimlah diri yang menzalimi dirinya sendiri



"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui," (Ar-Rum, 30:30)



Pokok pangkalnya, sekeping hati itu sebenarnya suci. Kerana telah menjadi fitrah seorang manusia yang sukakan perkara-perkara kebaikan. Namun, manusia juga adalah makhluk yang dicemburui syaitan yang gemarkan kemaksiatan. Mereka telah bersumpah dihadapan Allah untuk menyesatkan manusia. Biarkanlah mereka dengan tugas mereka. Tak guna kita menyalahkan mereka. Kita sebagai manusia seharusnya lebih sedar akan tugas kita. Memilih jalan kebenaran adalah tugas kita. Tanggungjawab kita. Bukan sekadar pilihan biasa…


"Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang


Wahai para pejuang kehidupan,


Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa


Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap


Musibah dan ujian adalah pasti, bukan tanda Allah tidak mengendahkan kita, tetapi kerana Allah sentiasa mengingati kita, lantas menguji sejauh mana kita mengingatiNya..


Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba"


Bangkitlah pejuang-pejuang Allah sekalian! Bangunlah wahai diri! Sedarlah wahai hati! Hidup ini suatu perjuangan. Perjuangan untuk merebut janji yang telah ditawarkanNya. Walau sepayah mana sekalipun, jangan pernah putus asa untuk membersihkan hati, jangan biarkan dunia menguasai hati, tapi biarkan hati menguasai dunia. Tahu bila masanya untuk mengutamakan dunia, lagi tahu bila masanya untuk mengabaikan dunia. Allah sentiasa bersama hamba-hamba yang mengingatiNya…



Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.


Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan (nya) dengan baik.


Mereka itulah (orang-orang yang) bagi mereka surga Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam surga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat-istirahat yang indah” (Al-Kahfi, 18:29-31)





Peringatan ini adalah untuk diri saya sendiri, yang sedang berubah-rubah hatinya. Apa yang boleh diambil sebagai pedoman, marilah sama-sama kita , menghargainya... Assalamualaikum, wallahu'alam... ^_^





1 comments:

Kayun said...

singgah raya sini..
grab pic dri iluvislam juga ;)
tq2

Post a Comment