08 March, 2010

Bermulanya Sebuah Permulaan

Bismillahirrahmanirrahim, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh... Bermulanya sebuah permulaan. Permulaan yang diharapkan tidak berakhir dengan sia-sia, tetapi berkahir dengan penuh berharga dan bermakna. Kenapa? Kerana setiap apa yang berlaku, terjadi, dapat, menimpa seseorang insan bergelar manusia adalah sangat berharga. Mengapa berharga? Kerana semua itu adalah daripada Sang Pencipta yang tidak pernah lupa untuk mensyukuri hamba-hambaNya. Tapi sayang, hamba yang seringkali dimanjakan oleh Tuannya ini seringkali terlupa, terlalai, dan terleka untuk mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan..

"Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" (Ibrahim,14:34)

"Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur" (Al-Mulk,67:23)

Berharga dan menghargai

Menghargai sesuatu yang berharga adalah tanda kesudian kita untuk belajar. Belajar daripada kesilapan diri sendiri, ataupun kesalahan orang lain. Belajar daripada apa yang berlaku di sekeliling kita. Belajar daripada apa yang diajar. Belajar daripada kehidupan. Kehidupan sebuah dunia yang dicipta Dia, semata-mata untuk kita, supaya hanya mereka yang benar-benar sedar untuk menghargai dan mempelajari apa yang dihargai dapat merasai nikmat kasih sayangNya sebagai sekelumit bekalan untuk bertemu denganNya di hari 'esok'. Seterusnya? Kesudian kita untuk menghargai dan belajar daripada kehidupan sementara ini adalah tanda kepedulian kita untuk mensyukuri setiap apa yang dikurniakanNya. Tahu bersyukur kerana tahu berterima kasih. Berterima kasih kerana berpeluang untuk mengecap kegembiraan dan kebahagian yang sebenarnya hanya sebuah pinjaman. Ya, kerana ia adalah pinjaman, kerana itulah peluang untuk menghargai, belajar, dan bersyukur mesti digarap dengan sebaik mungkin. Kenapa? Kerana syukur itulah tanda ingatan seorang hamba kepada Tuhan yang pernah memilihnya untuk menjadi seorang manusia di bumiNya. Mengingati Allah, sudah pasti kerana kita juga dikurniakan satu perasaan yang amat berharga. Cinta. Menghargai, belajar, bersyukur dan mengingati sebagai tanda kita mencintaiNya. MencintaiNya kerana Dia juga sentiasa dan sentiasa menghulurkan salam percintaan tanpa pernah jemu, walau sebanyak mana sekalipun kita lupa untuk mencintaiNya....

"Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?" (Fathir,35:2-3)

'Tresured-precious-cherished'

umm... begitulah muqaddimah yang ingin disampaikan. Sedikit gambaran yang ingin diterjemahkan di dalam sebuah blog. Diri ini, saya, tidak berapa pandai bercerita, tidah petah untuk menyampaikan, tidak penuh ilmu di dada, tetapi amat ingin berkongsi sesuatu yang dirasakan berharga. Dah lama sebenarnya hasrat untuk memiliki sebuah blog bersarang di hati. Tapi mungkin kerana sifat diri yang tidak tegar, dan sentiasa goyah, menyebabkan diri belum cukup berani untuk merealisasikan impian. Dan sungguh, setiap apa yang diri mampu lakukan, tidak lain dan tidak bukan, hanya dari Dia. Terima kasih padaNya kerana sudi ditiupkan sedikit kekuatan untuk menulis...uishh... penat jugak nak bermadah kata ni... tapi, namanya belajar, so belajar la kan. hehe. Jadi, seterusnya apa ya?

Seperti yang telah dimaklumkan, kerana saya tahu hati saya sering berbolak balik, saya memerlukan sesuatu untuk mengukuhkannya. Ya, betul, hanya Allah, pemegang segala hatilah yang layak untuk diajukan pertolongan. Namun, saya bukan berseorangan di dunia ini. Dia mengurniakan saya sahabat-sahabat yang sentiasa mendorong untuk sama-sama menyambut cintaNya. Jadi, apalah salahnya untuk saya dan sahabat saling berkongsi, untuk saling menguatkan dan mengukuhkan antara satu sama lain. Justeru itu, blog ini adalah milik kami. Tempat kami berkongsi semua perkara yang berharga, supaya kami dapat belajar, bersyukur, untuk mengingati dan mencintaiNya. Di samping itu, disinilah juga tempat untuk kami saling melepaskan rindu, sama ada semalam, hari ini, mahupun esok.

Semoga dengan terbinanya blog yang berharga ini, kami dapat mengukuhkan ukhuwah yang telah lama terbina, untuk sama-sama mengekalkan dan mempertahankannya di Syurga Allah nanti, insyaAllah.. Dan semoga kami dapat beristiqamah untuk berkongsi, sebagai ingatan untuk kami dan kita. Semoga kita lebih arif untuk menghargai dan menguruskan 24 jam kurniaan Allah ini, lebih terdidik untuk sentiasa menimba ilmu Allah yang tidak akan pernah habis, lebih rajin berfikir dan berusaha menjadi yang terbaik pada hari ini untuk memperoleh yang terbaik pada hari esok, lebih kuat dan tekad untuk terus berjuang di jalan ini, dan lebih tahu bagaimana untuk terus menghargai...


Gambar terbaru... alia-ana-sya-dayah. terima kasih kepada alia yang menyumbangkan gambar... terima kasih kepada dayah dan ana yang sudi dari jauh berkelana untuk bertemu sya dan alia.. ^_^

Wallahu'alam...




















0 comments:

Post a Comment