26 June, 2011

Ada Apa Dengan Aurat?


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum w.b.t...

Kebetulan, sedang mendengar lagu 'ada apa denganmu'. Tajuk pun jadi seperti diatas. Huhu.. Kenapa? Ada apa dengan aurat? Macam-macam ada? Ada yang tahu apa itu aurat. Ada yang faham apa itu aurat. Ada yang menghayati apa itu aurat. Ada yang belum tahu, mungkin. Ada juga yang belum cukup faham. Ada juga yang buat-buat tidak tahu apa itu aurat...

Siapa saya, mahu memperkatakan soal aurat? Ye, bukan sesiapa. Hanya seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan dosa. Diri sendiri juga masih bertatih mendidik diri untuk benar-benar faham apa itu aurat. Namun, ia bukan alasan untuk tidak saling mengingatkan. Sekadar berkongsi di sini, selama diri masih sedang mahu dan mampu, insyaAllah.

Kenapa tiba-tiba? Sedih. Sedih kerana secara tidak sengaja mendapat tahu sahabat-sahabat yang dulunya dikenali sebagai seorang yang tahu menjaga auratnya, kini sudah berubah. Tidak lagi menutup aurat... Mengapa berubah? Hanya Allah sahaja yang tahu. "Tidak menutup aurat, tidak semestinya tidak baik...? Apa guna menutup aurat kalau hati jahat dan busuk...?" Benarkah?

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
(An-Nur 24:31)

Saya dan Aurat...

Em, umur berapa ye, mula TAHU aurat wanita? Seingatnya, masa darjah 1 dah pakai tudung dah kat sekolah. So masa tu dah tau la kan, seorang perempuan yang beragama Islam, auratnya seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Masa tu pakai tudung kat sekolah je la. Kalau pergi jalan-jalan, rasa macam tak. Ada jugak masa yang pakai tudung, tapi baju macam-macam jenis la, yang ber'skirt', bergaun, berlengan pendek. Tahu, tapi belum boleh betul-betul fikir untuk benar-benar mematuhi perintah Tuhan.

Bila besar sikit, dalam darjah 6 ke atas, alhamdulillah, tak susah untuk kekal bertudung walau ke mana sahaja. Tapi belum juga benar-benar patuh pada perintah sebenar. Baju, rasanya masa tu lengan panjanglah. Tudung pun memang lebih suka dibiarkan menutup bahagian dada. Malu. Tapi tudungnya jarang, tudung bawal. Berstokin belum. Juga susah untuk bertudung kalau ada sepupu atau saudara mara lelaki bertandang ke rumah. Tahu, aurat perlu dijaga sesama bukan mahram, tapi susah nak buat.

Bila besar sikit lagi, masa sekolah menengah, mula boleh mencapai tudung setiap kali ada bukan mahram di rumah. Tapi tudungnya masih jarang. Berstokin juga belum...

Bila besar lagi dan lagi, start belajar kat universiti, sama juga. Yang bertambah mungkin tahap kesedaran. Sedar bahawa tudung yang jarang tu tak menepati syarat menutup aurat. Juga sedar kaki itu sebenarnya juga adalah aurat. Tapi sekadar tahu dan sedar. Tiada kekuatan untuk berubah. Alasan, tudung memang semuanya tudung bawal yang umi beli, takkan nak membazir beli baru. Dah la susah nak cari tudung yang tak jarang masa tu.. Lepas tu, kalau nak pakai stokin, takkan lah pakai dengan tudung yang jarang, tak kena pulak.... Hhmmm...

Begitulah manusia ini berkata-kata dengan dirinya sendiri. Mencari seribu alasan, kononnya 'pembela' diri. Tahu, faham juga mungkin, tapi masih belum punya kekuatan untuk bertindak. Sampai di satu tahap, kekuatan itu ada. And of course, daripada DIA jua diri mampu bertindak. Mula mencari alas bahagian dalam untuk di alas dengan tudung bawal yang jarang tu, tapi tak jumpa. Mencari lagi, tiba-tiba terjumpa tudung biasa yang tidang jarang. Sesuai. Dan di situ langkah bermula. Bertudung yang tidak jarang, menutup kaki dengan stokin yang sesuai.

Alhamdulillah, hati lebih tenang. Alhamdulillah lagi, tetap dan istiqamah dengan keputusan dan tindakan yang diambil. Bila balik ke Malaysia setelah 3 tahun di Bandung, mula mencari lagi. Telah banyak terjual tudung yang tidak jarang. Ada juga pilihan saiz tudung. Mencuba yang lebih besar. Alhamdulillah, lebih selesa. Lebih tenang. Tetapi, belum cukup yakin untuk solat menggunakan pakaian yang dipakai.

"Nak solat, pakai je la kain telekung sembahyang, apa susah...?"

Ok, dah tutup aurat apabila keluar dari rumah, tapi bila nak solat, kena cari telekung sembahyang. Maksudnya, pakaian yang biasa dipakai tadi tak boleh buat solat terus? Maksudnya, pakaian tu tak cukup menutup aurat ke? Bertanya dan berfikir...

Sekarang, setiap kali berpakaian untuk keluar, sentiasa bersedia untuk memakai 'pakaian solat'. Sebagai 'cut point' untuk menutup aurat yang mengikut syarak. Senang pun senang, tak payah susah-susah cari telekung untuk solat. Even telekung sembahyang pun kebanyakannya jarang...huhu.. Namun diri ini tahu dan sedar, masih ada yang perlu diperbaiki. InsyaAllah, semoga terus diberi kemahuan dan kekuatan untuk bertindak...

Mengapa Bercerita?

Mengapa ye... sekadar mahu berkongsi rasa. Mungkin kita punya rasa yang sama. Jika ya, mungkin juga keadaan dan situasi kita berbeza yang menyebabkan semakin susah untuk membuat tindakan. Susah ke jadi wanita? Susah ke nak tutup aurat dengan betul? Ye, susah la.... Macamana mahu berubah? Bagaimana mahu memulakan langkah? Apa pula kata orang nanti? Kita pun kena lah ikut fesyen terkini..?

Pucuk pangkal, adalah diri sendiri. Allah sentiasa ada untuk memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya. Tapi, petunjuk itu perlu dicari. Hamba mencari, pasti Tuhan memberi. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Tahu dan faham itu berbeza. Faham akan tuntutan menutup aurat secara sempurna insyaAllah akan mencetus MAMPU untuk bertindak. Dan juga, hanya kepada Allahlah kita memohon segala kekuatan.

Teringat pula ketika pulang ke kampung baru-baru ni. Dalam bas, duduk bersebelahan dengan seorang pakcik. Gayanya tampak alim. Berkopiah. Sebelum bas bergerak, ternampak dia melambaikan tangannya kepada anak dan isterinya di luar bas. Isterinya bertudung labuh. Tapi anak perempuannya tidak bertudung. Macamana saya tahu perempuan itu adalah isteri dan anaknya? Pakcik itu sendiri yang bercerita. Bangga dia dengan anak perempuannya, salah seorang pelajar cemerlang di ipt. Sedang asyik pakcik bercerita, tiba-tiba dia bertanya:

Pakcik: Nak, macamana nak buat ye, anak pakcik tu, susah sangat dia nak bertudung...
Saya: Em, susah jugak nak cakap tu pakcik. Pakcik dah tegur ke dia elok-elok?
Pakcik: Dah banyak kali dah. Tapi macam tu la jugak. Mungkin sebab dok kl ni, jadi macam tu pulak dia. Dulu masa kecik-kecik, pakcik dah hantar ke sekolah agama dah. Tapi mungkin jugak lah salah pakcik, masa dulu pakcik sibuk dengan kerja, mungkin masa tu pakcik sendiri yang kurang tegas dengan dia pasal tudung ni.
Saya: (tersenyum kelat... mencari respon yang terbaik..uhuk) Hhhmm.. susah jugak pakcik kan. Bila tak mula dari kecik, dah besar ni makin susah la pulak. Tapi saya rasa, tak semestinya macam tu jugak. Semua tu bergantung pada diri sendiri lah. Mungkin dia dah pernah belajar dan tahu pasal agama, tapi diri dia sendirilah yang kena betul-betul nak faham dan praktis cara Islam yang betul. Tapi (tapi lagi..) kawan-kawan atau pun orang sekeliling pun main peranan jugak kan...
Pakcik: Em, betul la tu nak. Habis tu macamana ye, pakcik hanya mampu berdoa je la sekarang supaya dia berubah. (Ada nada sayu pada suaranya...)
Saya: Ok lah tu pakcik. Tegur pun sudah. Doa pun salah satu usaha jugak. Asalkan kita tak berputus asa berdoa semoga Allah lembutkan hati Dia untuk menerima petunjuk ke arah Islam yang sebenar, insyaAllah....

Begitulah, cerita seorang ayah yang bimbangkan anak kesayangannya. So? Adilkah untuk menyalahkan ibu bapa dalam soal ini? Atau orang-orang disekeliling? Tepuk dada, tanyalah iman. Saya? Masa kecik dulu pakai tudung sebab ikut umi, ade ke umi suruh pakai ah? Ade la kot. Sebab peraturan sekolah kena pakai tudung jugak. Bila kat sekolah menengah, alhamdulillah, pihak sekolah agak menekankan soal agama dan sahsiah diri. Tambah pulak dengan sahabat-sahabat yang sentiasa mempengaruhi diri untuk berbuat baik. Secara keseluruhannya, alhamdulillah, ke mana pun saya pergi, Allah sentiasa mengurniakan saya teman dan sahabat yang sentiasa mengajak kepada perubahan diri yang positif. Zaman remaja saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan, bukan di rumah. Belajar tentang kehidupan dari mereka, bersama-sama. Alhamdulillah lagi, di atas segala nikmat kurniaanNya....

"Tahu, tapi belum mahu faham. Belum mahu berubah. Buat-buat lupa, buat-buat tak tahu. Menyusahkanlah nak tutup-tutup ni. Rimas. Panas. Old-fashioned!.... "

Sampai bila? Sampai ada orang lain yang tolong pakaikan kita dengan kain putih seluruh badan? Apa-apa yang berharga, kita mahu ia ditutup, diletakkan di dalam bekas yang paling terbaik, disimpan dan dijaga dengan rapi, hanya orang2 yang terpilih sahaja berhak melihat dan memiliki, kan? Kita? Adakah kita semurah barang yang biasa2 dan boleh dipamerkan di khalayak ramai, tiada penutup yang rapi, terdedah dengan segala macam kotoran, boleh dipegang dan disentuh oleh sesiapa sahaja?

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-Ahzab 33:59)

So, kita yang mana? Siapa yang tentukan kita nak jadi yang mana? Ayah? Abang? Mak? Tunang? Suami? Kawan? Tak kan...? Diri sendiri lagi... Segala pilihan, keputusan dan tindakan tetap di tangan kita...


Kat Malaysia ni, kalau tak hujan, panasnya bukan main, kan? Pakai tudung pun, panas ea? Hhhmmm... Kalau api neraka, macamana la agaknya?


Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya. - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


Salam muhasabah, salam tindakan...

Wallahu'alam :)

0 comments:

Post a Comment